Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau maklum ramai pihak yang tidak puas hati dengan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA), Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelasnya, mantan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memberikan alasan yang kukuh terhadap keputusan itu dan Anwar menolak untuk memberikan apa-apa kenyataan supaya tidak mahu dianggap bias.

“Saya tahu ramai yang tidak puas hati, itu betul. Itu hak mereka tanya Peguam Negara. Keputusan itu dibuat oleh mantan Peguam Negara yang dilantik oleh (Ahli Parlimen) Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

“Dia (Tan Sri Idrus Harun) bagi alasan yang bagi dia kuat. Saya dengar dan kalau saya bagi penjelasan saya sudah bias. Di Singapura bila ditanya saya jawab, tapi saya dinasihatkan jangan tambah, kalau beri komen pasal 11 alasan itu seolah-olah terlibat.

“Saya tidak boleh jawab melainkan ini budi bicara oleh peguam Negara,” katanya ketika sesi menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.

Dalam penerangan itu, Anwar menafikan berbincang dengan Idrus berhubung keputusan melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pendakwaan jenayah.

Sebaliknya, beliau meminta penjelasan berhubung keputusan DNAA tersebut dan jika boleh memohon Idrus menangguhkan keputusan itu.

Tegas Anwar, beliau tidak campur tangan dalam kes Ahmad Zahid dan mengetahui Peguam Negara mempunyai budi bicara terhadap soal pendakwaan seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah katanya, keputusan DNAA bukan perkara baharu, malah, pernah berlaku membabitkan beberapa kes sebelum ini dan menjadi rujukan.

“Kenyataan sebelum ini seolah-olah Perdana Menteri campur tangan. Kita cakap dengan hukuman dan keadilan, bukan dengan andaian. Apakah saya berbincang? Bila Peguam Negara buat keputusan, saya tanya dia apa alasan, dia beri 11 alasan, bukannya bincang.

“Tan Sri Idrus terpaksa tarik atas alasan tertentu, saya cakap tidak boleh tangguh? Dia cakap tidak boleh. Saya tahu ramai tidak puas hati, termasuk kawan-kawan saya, tapi saya faham. Tapi, janganlah menghukum saya campur tangan.

“Adakah ada rujukan? Ada. Sebelum ini beberapa rujukan membabitkan beberapa kes, Oleh kerana kes DNAA ini melibatkan kes dibangkitkan, akhirnya keputusan dibuat Peguam Negara,” katanya.

Sebelum ini, keputusan DNAA Ahmad Zahid daripada daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi mengundang pelbagai reaksi termasuk ahli Parlimen pembangkang.

Mereka mendesak kerajaan khususnya bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan penggantinya, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh tampil memberikan penjelasan berhubung keputusan DNAA tersebut. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Salam REFORMATI13, eloklah sekiranya Peguam Negara yang terlibat sendiri yang membuat penjelasan.

    Kalau bukan pakar yang buat, penjelasan akan menjadi merapu meraban dan mengarut2.

    Tak susah mana pun, penjelasan je?

Comments are closed.