Kasim Samat. Gambar : Facebook

KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) menamakan Kasim Samat sebagai calon mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Bentong pada 7 Oktober nanti.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Ceramah Pengisytiharan Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN yang diadakan di Simpang Pelangai, Bentong sebentar tadi.

Kasim yang merupakan pesara guru sebelum ini turut dinamakan sebagai calon di DUN Pelangai dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, namun tewas kepada penyandangnya Datuk Johari Harun.

Sebagai rekod, dalam PRU15 lalu, PN berjaya memenangi 17 kerusi, BN pula menang 16 kerusi dan Pakatan Harapan (PH)menang lapan kerusi daripada keseluruhan 42 kerusi DUN di negeri ini.

Bagaimanapun, DUN Pelangai yang mempunyai 16,456 pengundi menghadapi kekosongan kerusi luar jangka berikutan kematian Johari, 53, dalam nahas pesawat terhempas berhampiran bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Hari Penamaan Calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Oktober sebagai Hari Undi Awal, manakala Hari Mengundi pengundi biasa ditetapkan pada 7 Oktober.

Pada PRU15 lalu, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat, calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang, Isa Ahamd.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Mudah je, dalam Islam sudah ada garis panduan, bila Pas berkawan dengan DAP kita pilih Umno. Bila Umno berkawan dengan DAP kita pilih Pas.

    Semudah A B C, insyaAllah selamat dunia akhirat, peace!

    • Bila PAS kawan dgn DAP tak ada pun PAS kalah..tetap undi PAS…dan bila PAS kawan dgn Gelakan, tetap undi PAS..sebab PAS blh keluar fatwa..UMNO mana boleh

Comments are closed.