KOTA BHARU – Polis Kelantan menahan empat lelaki dan merampas dua pistol bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pemilik bengkel berusia 38 tahun yang ditembak mati di dalam kenderaannya di Jalan Hutan Kuin di Machang, Ahad lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata semua suspek yang berumur 25 hingga 36 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di negeri ini semalam.
“Polis berharap penahanan empat lelaki ini dapat merungkaikan motif sebenar kejadian sehingga membawa kepada pembunuhan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua suspek direman hingga 28 Sept ini untuk siasatan lanjut mengikut Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan polis polis sudah mengambil keterangan daripada 25 individu lain termasuk kenalan, ahli keluarga dan individu di tempat kejadian bagi siasatan lanjut.
“Berdasarkan bedah siasat mangsa maut selepas ditembak tujuh das dari jarak dekat dan mengenai bahagian dada dan kepala. Siasatan juga mendapati mangsa terlibat dengan kumpulan yang menjalankan aktiviti haram, di samping memiliki 21 rekod jenayah membabitkan dadah, senjata api dan ugutan,” katanya.- BERNAMA