Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee (dua, kiri) bersama ketua jurulatih Hougang United FC, Marko Kraljevic (dua,kanan) selepas sidang media pra-perlawanan Piala AFC 2023 antara kedua-dua pasukan di Stadium Likas hari ini.

KOTA KINABALU – Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee meminta pemain skuad itu supaya tidak mengambil mudah pertemuan menentang Hougang FC dari Singapura dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 di Stadium Likas, di sini malam esok.

Beliau berkata tiada tekanan untuk Skuad Badak mempamerkan permainan terbaik dalam perlawanan pertama saingan Kumpulan H itu kerana kebanyakan pemain mempunyai pengalaman luas termasuk bermain di peringkat antarabangsa.

“Kita ada pemain yang baik, apatah lagi bermain di tempat sendiri dengan penyokong sendiri…itu adalah kelebihan namun kita tidak boleh ambil mudah perlawanan ini.

“Saya masih ada kurang daripada 24 jam untuk memilih pemain dan kita harap semua pemain telah bersedia dan mampu memberikan yang terbaik dalam perlawanan itu nanti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengenai sasaran dalam saingan Piala AFC, Kim Swee berkata Sabah FC tidak menetapkan sebarang sasaran tertentu, tetapi akan memberikan tumpuan kepada setiap perlawanan.

“Sudah tentu kita mahu layak sejauh mungkin seperti yang pernah dilakukan oleh Kuala Lumpur City FC dan Johor Darul Ta’zim FC…oleh itu kita mesti memberikan tumpuan sepenuhnya pada setiap perlawanan yang ada,” tambahnya.

Sabah FC dan Hougang FC diundi bersama Hai Phong FC dari Vietnam dan PSM Makassar dari Indonesia dalam saingan Kumpulan H dengan perlawanan pertama dijadual malam esok.

Selain pertembungan Sabah FC dan Hougang FC di Stadium Likas di sini, Hai Phong bakal bertemu dengan PSM Makassar di Lach Tray Stadium, Vietnam malam esok.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Hougang FC Marko Kraljec berkata bermain di hadapan ribuan penyokong tuan rumah akan menjadi cabaran buat pasukannya ketika bertemu Sabah FC malam esok

“Kita sudah bersedia sepenuhnya walaupun kelebihan mungkin masih berpihak kepada pasukan tuan rumah yang jelas mempunyai barisan pemain yang baik dan cukup berpengalaman.

“Bagaimanapun, kita juga sudah melakukan persiapan yang baik termasuk membuat perancangan dan taktikal perlawanan untuk esok,” katanya.

Beliau berkata pasukan dari Singapura itu juga bersedia berdepan suasana stadium dan berjanji esok akan menjadi perlawanan terbaik buat kedua-dua pasukan.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast