Pengerusi Pertubuhan Reformis Madani Malaysiai, Khairul Anuar Othman (dua kanan) serta yang lain menunjukkan laporan polis berkaitan kes penghinaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Reformasi Madani Malaysia membuat laporan polis berhubung seorang wanita yang didakwa menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi media sosial.

Video berdurasi satu minit itu memaparkan wanita terbabit mengaku telah menghina Perdana Menteri dan menyatakan sesiapa yang tidak berpuas hati boleh menghubunginya.

Pengerusinya, Khairul Anuar Othman mendakwa hantaran yang dimuat naik wanita itu mempunyai elemen jenayah dan boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.

Katanya, wanita itu turut meletakkan poster menyatakan Perdana Menteri sudah ‘meninggal dunia’ berserta ucapan takziah.

“Walaupun hantaran itu sudah dipadamkan namun saya masih menyimpan video tersebut dan sebagai rakyat Malaysia, saya percaya bahawa hantaran yang dibuat (wanita itu) jelas mempunyai elemen jenayah iaitu penghinaan terhadap Perdana Menteri.

“Hantaran jelik itu juga boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, permusuhan serta mampu mengganggu-gugat kestabilan dalam Malaysia. Selain itu, mampu mendatangkan kebencian atau penghinaan bagi membangkitkan perasaan tidak setia kerajaan,” katanya pada pemberita.

Pengerusi Pertubuhan Reformis Madani Malaysiai, Khairul Anuar Othman bercakap kepada media selepas membuat laporan polis berkaitan kes penghinaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 SEPTEMBER 2023.

Terdahulu, beliau bersama lima wakil NGO yang lain hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Jelas Khairul Anuar, tindakan wanita dilihat agak melampau dan laporan polis perlu dibuat kerana sejak mutakhir ini terlalu banyak video di media sosial berkaitan penghinaan terhadap Anwar.

Susulan itu, pihaknya bercadang untuk menubuhkan Sekretariat Reformasi Madani Malaysia yang akan memantau dan membuat laporan polis berhubung penghinaan kepada Perdana Menteri di media sosial.

“Ini adalah langkah pertama kami dan kita akan terus untuk membuat laporan demi laporan sekiranya ada penghinaan daripada pihak tertentu di melalui sosial media dan sebagainya,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast