Dr. Gunaraj

KUALA LUMPUR – Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini diwarnai dengan pelbagai skandal penyelewengan kini lebih telus dan mampu mencapai matlamatnya.

Kemampuan itu dilihat selepas unit itu di ambilalih oleh Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khasnya, Datuk R Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh.

Perkara itu yang diakui oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr G Gunaraj dan berpendapat MITRA semakin menyerlah dan  mampu memperkasakan lebih ramai dalam kalangan masyarakat India khasnya golongan B40 selepas ini.

Ketua Cabang PKR Kota Raja itu berkata, sejak 2016, inilah kali pertama MITRA benar-benar telah menggunakan dana RM100 juta yang diperuntukkan setiap kali adanya peruntukkan Belanjawan khas untuk komuniti India di negara ini.

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada Datuk Ramanan berjaya memanfaatkan dana yang diberikan khas untuk masyarakat bagi tujuan transformasi dan memperkasa kaum India di negara. Saya juga ambil peluang lahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana memberikan amanat kepada beliau.

“Ingin saya tekankan di sini, MITRA hari ini lain daripada lain sejak ditubuhkan pada 2016, antara keutamaan dan fokus dalam menerajui unit ini ialah ketelusan bagi memastikan masyarakat hari ini yakin dengan keberkesanan unit ini.

“Idea itu sangat bagus dan akhirnya membuahkan hasil apabila semua dana dapat dinikmati oleh semua golongan berkepentingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan I PKR telah membuat pengumuman pihaknya telah berjaya menggunakan kesemua dana diperuntukan sebanyak RM100 juta jika hendak bandingkan tahun sebelum-sebelum itu.

Untuk makluman, pada 2016 cuma 35 peratus dibelanjakan; 57 peratus (2017); satu peratus (2018); 58 peratus (2019), 63 peratus (2020) dan 73 peratus (2021).

Dalam pada itu, Gunaraj mencadangkan kerajaan menubuhkan pusat sehenti MITRA di seluruh negara.

Pusat sehenti itu akan berfungsi sebagai hab menyaksikan individu daripada masyarakat India boleh mendapatkan bantuan dan bimbingan mengenai pelbagai inisiatif yang ditawarkan.

“Saya berharap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertimbang cadangan ini dan memperuntukkan sumber yang mencukupi untuk menyokong inisiatif ini. Banyak lagi boleh dilakukan untuk memperkasa dan memartabatkan masyarakat India di Malaysia,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast