KUALA LUMPUR – Demi menangani dan merawat masalah ketagihan dadah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) komited melaksanakan pelbagai pendekatan yang dilihat berkesan untuk individu yang terlibat.
Terkini, agensi berkenaan menerusi Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) menumpukan program berasaskan rawatan dan pemulihan mesra kepada penagih dadah.
Pengarah Puspen Sungai Besi, Nurshuhaila Ab Rahman berkata, pendekatan lembut namun berkesan itu untuk membantu individu yang mempunyai masalah ketagihan dadah membina keyakinan diri, disiplin dalam masa yang sama memupuk semangat memulakan kehidupan.
Ia juga memenuhi keperluan aspek psikologi, emosi dan tingkah laku.
“Sebelum ini pendekatan kita regimented iaitu ala tentera, mungkin semua orang pun takut. Tapi apa yang kita buat sekarang, program kita sekarang lebih bersifat kemanusiaan dan dekat di hati yang mana ia lebih menyeronokkan dan juga efektif,” katanya ketika Program Retreat Media bersama AADK semalam.
Selain itu, Nurshuhaila berkata, individu yang menjalani program pemulihan dadah dengan Puspen tidak dipinggirkan daripada masyarakat.
Sebaliknya kumpulan berkenaan akan didekatkan dengan komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti harian yang bermanfaat.
Ujar beliau, ia bagi mengatasi perasaan keterasingan individu yang terjebak dengan dadah dalam masa yang sama
memupuk stigma positif dalam kalangan komuniti.
“Kamu juga adakan program seperti beriadah di antara yang berada dalam Puspen ini dengan masyarakat setempat. Kami dapati respon komuniti setempat terhadap inisiatif ini positif. Mereka tidak meminggirkan kumpulan seperti ini sebaliknya turut memberikan sokongan moral,” tambahnya.
Dalam pada itu, menurut Nurshuhaila, AADK juga membantu penagih-penagih terbabit dengan ilmu kemahiran sebagai persediaan untuk memulakan pekerjaan baharu selepas pulih.
“Kita bukan sekadar memberikan latihan kemahiran dan kursus malah kita juga mempunyai hubungan baik dengan beberapa majikan yang sudi menawarkan pekerjaan kepada bekas penagih ini.
“Mereka akan mempunyai pekerjaan yang tetap dan pendapatan sendiri apabila kembali ke dalam komuniti nanti,” katanya lagi.
Sementara itu, salah seorang daripada individu yang sukarela mendapatkan rawatan pemulihan dadah dengan Puspen yang, Mohd Azwan Zulkafli, 24, berkata, Puspen Sungai Besi bukan sahaja membantunya meninggalkan dadah malah menjadi tempatnya menimba ilmu mengenali kesan buruk bahan itu.
Bahayanya meliputi pelbagai aspek bukan hanya individu malah masyarakat.
Katanya lagi, paling penting adalah Puspen mendidik individu yang mempunyai masalah ketagihan untuk menangani emosi dan menyelesaikan masalah secara proaktif.
“Setakat ini alhamdulillah, program-program di Puspen sangat membantu saya. Di sini diberikan ilmu jadi daripada situ kita dapat tambah kesedaran, ubah sikap sebab mahu berubah. Dididik bagaimana untuk berdepan dengan masalah dengan cara penyelesaian yang positif, rasionalkan diri sendiri tangani emosi,” katanya.
Setahun berteduh di bawah Puspen, Mohd Azwan berazam untuk mengubah dirinya dan mencari persekitaran baharu apabila keluar kelak.
“Persekitaran saya nak ubah saya tidak mahu lagi seperti dahulu, saya kena pindah daripada kawasan yang sekarang saya berhsrat untuk berhijrah,” kata anak kelahiran Sabak Bernam itu.-MalaysiaGazette