Gambar tular mengatakan Ikmal menghisap vape di Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz hari ini membuat laporan polis berhubung kandungan sebuah akaun X yang memaparkan gambarnya seakan-akan menghisap vape ketika meninggalkan ruang Dewan Rakyat pada 19 September lalu.

Laporan dibuat pegawai khas beliau, Wan Mohd Faissol di Balai Polis Dang Wangi di sini pagi tadi berhubung akaun X milik @sadiqasyra yang  dipercayai jurugambar kepada Perdana Menteri.

Menurut beliau, penyiaran gambar itu dengan keterangan “Betul-betul koyak terus tarik vape sambil keluar dewan” adalah satu fitnah berniat jahat bagi menjejaskan imej, kredibiliti dan reputasinya.

“Pemilik akaun X @sadiqasyraf berniat jahat apabila menuduh saya menghisap vape sedangkan apa yang saya pegang ketika itu adalah sebatang pen yang secara spontan diletak pada bibir seketika sahaja.

“Atas sebab itulah saya mengarahkan pegawai saya membuat laporan polis tersebut bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan seterusnya mengambil tindakan terhadap penyiaran gambar berkenaan.

“Saya juga menyifatkan penyiaran gambar itu bermotif politik dan telah menjejaskan imej saya dan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhannya,” katanya kepada media petang ini.

Ikmal Hisham juga telah menerima surat daripada Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat yang memintanya memberikan penjelasan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung gambar tersebut.

Wan Mohd Faissol menunjukkan laporan polis ke atas @sadiqasyraf yang dikatakan telah memfitnah majikannya, Ikmal Hisham.

Katanya, beliau sama sekali tidak mempunyai apa-apa masalah untuk memberi penjelasan tetapi pada masa sama memohon jasa baik Speaker untuk turut meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) Dewan Rakyat bagi mengetahui perkara sebenar.

“Selain itu, saya juga memohon Speaker Dewan Rakyat meminta @sadiqasyraf yang bertanggungjawab merakam foto itu menyerahkan kepada pihak Speaker Dewan Rakyat semua gambar saya yang dirakamnya.

“Saya yakin dan percaya beliau ada mengambil beberapa gambar saya ketika saya sedang berjalan keluar namun sengaja memaparkan satu gambar dari sudut untuk memperlihatkan saya seolah-olah sedang menghisap vape.

“Ini amat berniat jahat dan tidak bertanggungjawab sama sekali,” tegasnya.

Jelasnya, melalui cara itu, beliau yakin ia akan turut membantu speaker untuk mengetahui adakah ketika berjalan keluar dari Dewan Rakyat pada hari berkenaan beliau sedang menghisap vape atau memegang pen.

“Seperti mana saya tegaskan sebelum ini, saya bukanlah perokok dan tidak pernah seumur hidup menghisap rokok atau vape. Jika mana-mana pihak menuduh saya perokok, saya mencabar mereka untuk membuktikan dakwaan itu dengan menunjukkan mana-mana gambar saya sedang merokok dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini.

“Cabaran saya ini bukanlah bermakna saya bersikap kebudak-budakan atau mahu menunjukkan keangkuhan tetapi bagi membuktikan ketegasan saya tidak akan berkompromi dengan politik fitnah seperti mana dilakukan pemilik akaun @sadiqasyraf,” katanya.

Beliau berkata, atas ketegasan yang sama laporan polis yang dibuat pegawainya akan disusuli dengan tindakan undang-undang ke atas @sadiqasyraf.

Tindakan undang-undang itu, kata Ikmal Hisham, bagi menuntut pihak terlibat memohon maaf atas fitnah yang dilakukan sehingga menjejaskan reputasinya dan mengakibatkan dirinya menjadi mangsa serangan dalam media soial akibat penyiaran gambar tidak bertanggungjawab itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Natizen sarankan setiap kali menteri buat statement ke apa ke, bila kena kritik dengan rakyat, buatlah report polis segera untuk siasat dan tangkap pengkritik2 tersebut.

    Atau untuk lebih senang bina satu pejabat kecil polis disebelah pejabat setiap menteri, setiap kali buat statement, bila kena kritik terus buat lapuran polis. Ianya lebih mudah?

    Ini adalah cadangan sahaja.

    Sendiri buat video, sendiri upload, sendiri koyak, sendiri buat report polis. Kelakar betul menteri2 sembab biol ni, sia2 bayar gaji elaun puluhan ribu guna wang rakyat tapi hanya bazir masa buat kerja bodoh macam ni.

    Adus.

Comments are closed.