Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menyampaikan bakul Rahmah kepada penerima bantuan ketika hadir ke Program Jualan Rahmah (PJR) di Dataran Simpang Pelangai, Bentong, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 22 SEPTEMBER 2023.

BENTONG – Kerajaan akan menawarkan beras import dan tempatan pada harga munasabah sebagai usaha untuk membantu meringankan beban rakyat.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu dilakukan selain menawarkan beras import pada Harga Rahmah bagi menangani isu beras import yang naik harga.

Menurutnya, harga beras import lima kilogram (kg) tidak melebihi RM15 dan beras 10 kg pula tidak melebihi RM30.

“Paling penting Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) , KPDN atau kerajaan negeri seperti di Pahang dan Selangor memainkan peranan memangani isu berkenaan. Kita nak pastikan bila berlakunya gangguan, kita mahu menawarkan bekalan beras tempatan dan beras import pada harga munasabah untuk dimanfaatkan masyarakat kita di seluruh peringkat,” katanya.

Armizar berkata demikian ketika ditemui media sempena Program Jualan Rahmah DUN Pelangai di Bentong hari ini.

Pada jualan itu, ribuan penduduk sekitar Pelangai tidak melepaskan peluang mendapat barang keperluan dapur pda harga yang berpatutan.

Selain itu, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, pembentangan berkaitan kawalan padi dan beras telah dibentang menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup.

“Hal ehwal dan kawalan selia padi dan beras di bawah tanggungjawab Kementerian Pertanian dan Keterjaminan makanan di bawah Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 Akta 522. Jadi Kementerian Pertanian telah pun membentangkan mesyuarat peringkat jawatankuasa pemantauan Majlis Tindakan Sara Hidup dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam.

“Pada 3 Oktober nanti, mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup pada peringkat induk akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Mengulas lanjut , pihaknya bekerjasama dengan KPKM menerusi Op Jamin sejak Julai lalu bagi memastikan bekalan makanan ruji itu terjamin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast