Datuk Zainol Samah

MELAKA – Polis Melaka menahan enam rakan R. Darvnrajh, 24, yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan kejam pemuda itu sebelum mayat ditemui Sabtu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, semua suspek berusia antara 18 hingga 26 tahun ditahan menerusi ‘Op Kejam’ Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Menurutnya, semua suspek yang merupakan rakan mangsa ditahan di sekitar daerah Tampin.

“Siasatan juga mendapati, dendam lama menjadi punca mangsa dibunuh dengan kejam dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Semua suspek direman sehingga 24 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, Zainol mengesahkan identiti mayat yang ditemui berulat dan hampir reput dengan 18 kesan tikaman di tepi jalan berhampiran kebun kelapa sawit, Ladang Gadek, Kemuning, di sini, Sabtu lalu sebagai Darvnrajh.

Lelaki itu dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya di Tampin, Negeri Sembilan sejak 10 September lalu.

Isnin lalu, media melaporkan penemuan mayat terbabit yang disedari orang awam apabila terhidu bau busuk di kawasan semak kira-kira jam 10 pagi sebelum menghubungi Balai Polis Pulau Sebang.

Menurut Zainol, keputusan bedah siasat mendapati mangsa dibunuh dengan kejam apabila terdapat 18 kesan tikamam dan punca kematian adalah kecederaan parah akibat objek tajam termasuk pada bahagian leher dan dada.

Menurutnya, banyak tisu badan yang telah hilang akibat proses selain retak tulang rahang dan tengkorak. – MalaysiaGazette