NEW YORK – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau telah dijemput untuk ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi, pada bulan Oktober.
Anwar berkata beliau akan berada di UAE pada 5 dan 6 Okt untuk lawatan kerja, sebelum hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dihoskan Arab Saudi di Riyadh pada 16 Okt.
Ketika sesi soal jawab selepas menyampaikan ucaptamanya bertajuk ‘Regaining Malaysia’s Lead in Asia’ (Mengembalikan Penerajuan Malaysia di Asia) pada majlis Invest Malaysia New York pada Khamis, Anwar berkata terdapat minat yang semakin meningkat daripada anggota GCC terhadap ASEAN.
“Kami (ASEAN) menerima minat yang semakin meningkat daripada Arab Saudi, UAE dan Qatar,” katanya.
Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya dari UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan di luar UNGA pada Selasa berkata dari Januari hingga April 2023, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara meningkat 5.7 peratus, iaitu daripada RM11.25 bilion kepada RM11.89 bilion.
Semasa lawatan ke Kuala Lumpur pada Mei, Menteri Perdagangan UAE Thani Al Zeyoudi berkata pelaburan Malaysia di UAE berjumlah US$150 juta, dan pelaburan UAE di Malaysia mencecah US$220 juta.
Arab Saudi pula merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara pada 2022 mencatatkan US$10.26 bilion, meningkat 159.2 peratus daripada 2021.
Antara projek utama Arab Saudi di Malaysia ialah Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor oleh Saudi Aramco.
— BERNAMA