LONDON – Persatuan bola sepak Jerman mengumumkan bekas pengurus Bayern Munich, Julian Nagelsmann akan menggantikan Hansi Flick sebagai pengurus baharu pasukan kebangsaan negara itu.
Pengurus berusia 36 tahun itu menandatangani perjanjian yang akan menyaksikan dia memikul tugas berkenaan sehingga 31 Julai 2024.
Dia akan mengendalikan pasukan Jerman untuk Kejohanan Eropah yang berakhir pada 14 Julai 2024.
Flick dipecat sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Jerman berikutan kekalahan 1-4 kepada Jepun, sekali gus menamatkan tempoh perkhidmatannya dengan hanya memenangi empat daripada 17 perlawanan.
Skuad Die Mannschaft mengharungi prestasi sukar sejak Piala Dunia 2022 yang mana mereka secara mengejut tersingkir di peringkat kumpulan susulan kekalahan 1-2 kepada Jepun dan seri 1-1 berdepan Sepanyol.
Mereka bangkit pada lewat permainan sebelum menang 4-2 menentang Costa Rica dalam perlawanan terakhir kumpulan, namun gagal untuk layak ke pusingan kalah mati apabila menduduki tempat ketiga di belakang Jepun dan Sepanyol.
Persatuan bola sepak Jerman mengharapkan Nagelsmann dapat membantu mengubah nasib pasukan menjelang kejohanan Eropah di Jerman tahun depan. – Agensi