Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan menyampaikan tawaran SULUNG 2.0 kepada Nur Adyranna di Pendang, Kedah semalam.

PENDANG – “Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan membalas jasa ibu, ayah dan nenek yang membesarkan saya.”

Itu janji pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Adyranna Aressa Ramli dari Kampong Charok Kudong di sini yang terpilih sebagai pelajar pertama dari universiti ini untuk Program SULUNG 2.0.

Lebih mengejutkan berita baik itu disampaikan sendiri
oleh Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan ke rumah neneknya semalam.

Nur Adyranna

“Lebih mengejutkan kehadiran beliau bersama Dekan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Prof Madya Dr Massudi Mahmuddin membawa berita gembira dengan memaklumkan saya terpilih sebagai pelajar pertama dari universiti ini untuk Program SULUNG 2.0,” ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Anak sulung dari dua beradik itu berkata, kegembiraan berganda adalah kerana bukan sahaja dapat melanjutkan pengajian ke universiti nombor satu terbaik negara di bawah usia 50 tahun dalam Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2023 malah terpilih pula dalam program SULUNG.

Katanya, purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00 yang diperoleh membolehkan dia melanjutkan pengajian di UUM dalam program Sarjana Muda Perakaunan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) untuk sesi 2023/2024 pada 10 Oktober lalu.

Dalam pada itu, ayahnya, Ramli Mohd Abu yang bekerja sendiri dan ibunya Salwa Wahab mengucapkan terima kasih kepada Naib Canselor UUM kerana bukan sahaja berkunjung ke rumah mereka malah membawa berita yang mengembirakan.

Sementara itu , Mohd Foad berkata, kunjungan itu bsgi untuk bertemu dan melihat sendiri persediaan pelajar baharu yang akan mendaftar pada Oktober ini.

“Memandangkan Nur Adyranna Aressa memenuhi kriteria untuk dipilih dan ditawarkan bagi program SULUNG iaitu keluarga dari kategori B40 maka kunjungan ini juga diharap membawa berita gembira untuk keluarga ini,” ujar nya.

Katanya, seramai 388 pelajar kalangan B40 pelbagai kaum dan bangsa akan dipilih menyertai Program SULUNG 2.0 universiti ini yang melibatkan 188 pelajar baharu dan 200 adalah pelajar sedia ada.

Melalui program ini setiap pelajar dibiayai RM4,998 sepanjang enam semester pengajian mereka.

Menurut beliau, program itu terbuka untuk semua bidang pengajian peringkat ijazah selepas penilaian dan pengesahan dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar melalui semakan lapangan.

Mengulas lebih lanjut beliau menyatakan program ini merupakan inisiatif yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertujuan memberikan peluang dan kemudahan melanjutkan pengajian di menara gading kepada generasi pertama yang cemerlang dalam keluarga B40 tetapi kurang berkemampuan.

“Antara manfaat yang diterima mereka laluan Kemasukan Khas B40, pengecualian yuran pengajian dan pembangunan insaniah serta sokongan akademik dan kaunseling,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast