Sekitar majlis Pelancaran Kelab Pencegahan Jenayah dan Program Pencegahan Jenayah "Back To School" Ex-SAS "Hidup Berjasa" sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Penubuhan SEMSAS #1973-2023

KUANTAN – Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah (SEMSAS) melancarkan Kelab Pencegahan Jenayah sempena sambutan 50 tahun Jubli Emas sekolah tersebut hari ini.

Pelancaran disempurnakan Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin dan turut dihadiri lima orang bekas pelajar SEMSAS yang merupakan antara pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mereka yang dinamakan sebagai ikon Ex-SAS ialah Pengarah Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Seri Azri Ahmad; Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mat Kasim Karim dan KPP E4, Cawangan Khas, Datuk Jalaludin Hamid.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordi (dua dari kiri) melancarkan Kelab Pencegahan Jenayah di Sek Men Sultan Ahmad Shah Kuantan, di sini hari ini

Selain itu, bekas Ketua Polis Pahang yang kini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf juga dinamakan ikon Ex-SAS bersama Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

“Program ini disignifikasikan sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan dalam memperkasakan pencegahan jenayah di peringkat sekolah.

“Matlamatnya adalah untuk membangkitkan kesedaran dan kepekaan pelajar terhadap kemungkinan wujudnya gejala antisosial di sekeliling mereka,” kata Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum melancarkan Kelab Pencegahan Jenayah dan Program Pencegahan Jenayah “Back To School” Ex-SAS “Hidup Berjasa” sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Penubuhan SEMSAS #1973-2023 yang dihadiri lebih 500 pelajar sekolah itu.

Dalam majlis tersebut juga, beliau memaklumkan bahawa Pegawai Kanan Polis kini turut dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) bagi semua sekolah di Pahang.

“Tugas PPS ini ialah melawat sekolah-sekolah dan sentiasa bekerjasama dengan Pengetua, Guru Hal Ehwal Pelajar, Guru Disiplin serta Kaunselor bagi mencari penyelesaian kepada masalah-masalah kenakalan pelajar di sekolah-sekolah di bawah jagaan mereka,” tambahnya.

Dalam masa sama, Noor Hisam turut menyampaikan amanat kepada Ketua Polis Daerah yang hadir supaya memaklumkan kepada semua terutama PPS agar sentiasa memberi kerjasama yang tinggi kepada Guru Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) dalam mempergiat aktiviti pencegahan jenayah. – MalaysiaGazette