Seramai 270 orang dilaporkan sakit selepas makan bento yang dibeli dari Yoshidaya. Foto Kyodo

HACHINOHE – Pihak berkuasa kesihatan awam di daerah Aomori, timur laut Jepun, mengeluarkan larangan kepada syarikat Yoshidaya Co., pembuat makanan kotak bento tempatan daripada beroperasi berikutan kes keracunan makanan yang disebabkan oleh produk tersebut.

Seramai 270 orang di 21 wilayah di negara ini telah jatuh sakit selepas makan makanan bento yang dibekalkan oleh Yoshidaya.

Susulan arahan itu, syarikat yang berpangkalan di bandar Aomori, secara sukarela menggantung operasinya mulai hari Ahad.

Pejabat kesihatan awam menjangkakan bilangan pesakit boleh meningkat.

Bakteria Staphylococcus aureus dan Bacillus cereus, yang menyebabkan keracunan makanan, dikesan dalam najis pesakit yang memakan makanan bento Yoshidaya serta produk yang belum dibuka yang dibuat oleh syarikat itu, menurut Pejabat Kesihatan Awam Hachinohe.

Presiden Yoshidaya Hiroki Yoshida dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu percaya bakteria membiak akibat daripada kerja-kerja yang tidak sempurna apabila ia membeli beras daripada pembekal di luar Aomori.

“Kami amat kesal kerana mengkhianati kepercayaan pelanggan. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memohon maaf dan membayar pampasan atas kerosakan itu,” kata Yoshida.

Keracunan makanan itu disebabkan oleh 12 jenis makanan bento yang dijual di seluruh negara selama dua hari mulai 16 September.

Seorang pesakit pertama kali dilaporkan oleh pihak berkuasa kesihatan awam di Fukushima. –¬†Agensi