Amizar Abu Adam. Foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2023.

BENTONG – Calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam menafikan beliau anak murid kepada Kasim Samat seperti yang didakwa oleh lawannya pada Pilihan Raya Kecil pada 7 Oktober ini.

Amizar berkata, beliau tidak pernah menjadi anak murid kepada calon Perikatan Nasional (PN) yang turut dikenali dengan panggilan Cikgu Kasim itu dan meminta pihak lawan  menarik balik kenyataan tersebut.

Bahkan, ujarnya, kalau diikutkan logik jurang perbezaan umurnya antara beliau dan Kasim tidak jauh sehingga insan itu sempat menjadi gurunya.

”Saya bukan anak murid Cikgu Kasim yang digembar-gemburkan, cuba kaji tahun bila saya belajar, tahun bila dia keluar dan tahun bila dia mengajar saya, itu yang penting sebab itu kesalahan dibuat oleh pihak mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan calon PN itu menyifatkan pertembungan bersama anak murid yang dikatakan Amizar adalah perkara biasa dalam politik menerusi kenyataannya.

PRK Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor.

Bagaimanapun tambah beliau, atas dasar memelihara akhlak beliau menghormati insan yang lebih berusia daripadanya selain menjaga silaturahim sesama manusia. – MalaysiaGazette