KUALA LUMPUR – Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin@Mohd Zainuddin merekodkan sejarah apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam wanita yang pertama di negara ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataannya berkata, pelantikan berkenaan berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk Zazuli Johan.

Anis Rizana, 54 tahun, berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam selama 29 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Penolong Setiausaha, Bahagian Kewangan, Kementerian Kewangan pada tahun 1994.

“Saya percaya dengan pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki oleh Anis Rizana mampu menerajui agensi yang amat penting dalam pengutipan hasil kerajaan dengan cemerlang ke arah mencapai visi Malaysia Madani”, katanya.

Anis mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Western Michigan University, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia.

Beliau berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk pelaburan import eksport, penyelidikan dan pembangunan dasar, ekonomi, pengurusan dan kewangan serta pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha
Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, Tan Sri Mohd Zuki turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Zazuli atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada perkhidmatan awam terutamanya sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Kastam. – MalaysiaGazette