Tan Sri Mohd Zuki Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan pusingan kerja dan pelantikan baharu beberapa pKetua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan memaklumkan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Zaini Ujang ditukarkan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM).

Datuk Seri Isham Ishak yang kini menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, akan bertugas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Manakala Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof pula menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, Datuk Noridah Abdul Rahim pula sebagai Ketua Pengrah Jabatan Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Hairil Yahri Yaacob, dilantik sebagai Ketua Setiausaha baharu kementerian berkenaan.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini dan percaya dengan kemampuan pegawai yang dilantik untuk terus memacu kecemerlangan kementerian serta agensi dalam menjayakan agenda Malaysia Madani,” kata Mohd Zuki. – MalaysiaGazette