BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki maut manakala dua lagi selamat selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum terjatuh ke dalam longkang di Jalan Star Vanue, Taman Tangling Indah, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian susulan mengalami kecederaan pada anggota badan akibat tersepit dalam kereta jenis Honda City.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.06 pagi dan operasi menyelamat mangsa melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian kita dapati dua mangsa telah berjaya menyelamatkan diri dengan keluar daripada kenderaan itu manakala seorang lagi masih terperangkap.
“Susulan itu, kita lakukan kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit dan mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 5.15 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah jurucakap itu, dua mangsa yang terselamat dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut kerana mengalami kecederaan ringan.
“Manakala mangsa maut diserahkan kepada pihak polis,” katanya. – MalaysiaGazette