KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demoktik Malaysia (MUDA) mempersoalkan komitmen kerajaan, khususnya rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini berjuang melawan Akta Hasutan dan menggesa ia dimansuhkan.
Setiausaha Agungnya Amir Hadi berkata, meskipun parti tersebut tidak bersetuju dengan kenyataan bersifat menghina kepada sesiapa pun, namun tidak wajar akta berkenaan digunakan untuk tujuan politik.
“Suka untuk diingatkan bahawa penggunaan Akta Hasutan meningkat 1,000 peratus dari tahun 2012 hingga 2015, sejak pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang menunjukkan bagaimana ia telah digunakan untuk tujuan politik, di mana rata-rata yang disiasat dan didakwa ketika itu ada ahli politik dan aktivis pembangkang, yang kini merupakan sebahagian dari kerajaan,” katanya menerusi kenyataan.
Mahkamah Rayuan hari ini telah menolak rayuan penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin yang didakwa di bawah Akta Hasutan sejak 2014, berkaitan hantaran media sosial yang dikatakan menghina Sultan Selangor 11 tahun lalu.
Sehubungan itu, beliau dijatuhkan hukuman penjara 9 bulan.
Mengulas lanjut Amir menggesa supaya pemimpin kerajaan yang sebelum ini telah menjadi pembangkang dan memperjuangkan Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) supaya kembali kembali berpegang dengan agenda reformasi yang sekian lama dilaungkan.
“Saya mendoakan agar kuasa tidak membutakan mata kita. Semoga saudara Wan Ji dipermudahkan urusan dan diberi kekuatan,” ujarnya.-MalaysiaGazette