KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Dewan Negara hari ini meluluskan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan lebih suara bersetuju.
Seramai 44 Ahli Dewan Negara mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung pada 20 dan 21 Sept, diikuti sesi penggulungan oleh 26 kementerian.
Usul KSP RMK12 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Sept di Dewan Rakyat, bermatlamatkan ‘Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi’.
KSP RMK12 dengan 17 anjakan besar sebagai pemangkin utama melalui 71 strategi dan inisiatif utama, merupakan jaminan teguh kerajaan dalam memenuhi tuntutan reformasi yang diharapkan rakyat, sekali gus memaknai semangat Malaysia MADANI.
Ia juga menjadi dokumen dasar bagi memacu dan melonjak pembangunan negara dengan mengangkat darjat serta memperkasa rakyat.
Pada 19 Sept, usul KSP RMK12 diluluskan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dengan suara majoriti.
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mempengerusikan sidang berkata mesyuarat Dewan Negara ditangguhkan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.- BERNAMA