KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang, turun negatif 1.8 peratus pada Ogos 2023 berbanding – 2.3 peratus pada Julai 2023.

Penurunan ini disumbangkan oleh sektor perlombongan, yang menurun sebanyak negatif 3.8 peratus (Julai 2023: -10.8 peratus), dengan indeks pengekstrakan petroleum mentah mencatatkan -6.5 peratus pada Ogos 2023.

Pada masa yang sama, sektor pembuatan menurun sebanyak negatif 2.3 peratus, dipengaruhi oleh penurunan dalam indeks pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-13.4%) dan pembuatan produk makanan (-7.6%).

Sektor bekalan elektrik & gas juga mencatatkan penurunan negatif 0.1 peratus (Julai 2023: 0.1%).

Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan & perikanan meningkat sebanyak 2.9 peratus disokong oleh indeks pengeluaran ternakan (6.0%) dan penanaman tanaman kekal (2.0%).

Sektor bekalan air juga meningkat 2.5 peratus pada Ogos 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pada asas bulanan, IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat 0.3 peratus pada Ogos 2023 (Julai 2023: 0.2%).

Sektor perlombongan meningkat 3.9 peratus disebabkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (5.0%) dan pengekstrakan gas asli (0.7%).

Sektor pertanian, perhutanan & perikanan meningkat 1.9 peratus dengan indeks penanaman tanaman kekal mencatatkan peningkatan sebanyak 5.0 peratus manakala sektor bekalan air juga mencatatkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus pada bulan ini.

Sementara itu, sektor pembuatan menurun – 0.2 peratus, disebabkan oleh indeks pembuatan produk petroleum bertapis (-1.2%) dan pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (-1.2%).

Sektor bekalan elektrik & gas juga menurun sebanyak -0.1 peratus.

Mengulas mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata, iIndeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya terus menurun sebanyak – 2.4 peratus pada Ogos 2023 (Julai 2023: -6.3%), dengan indeks bahan bukan makanan mencatatkan negatif 3.5 peratus.

Indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen juga mencatatkan – 3.7 peratus disebabkan oleh bahan api yang diproses & pelincir (-10.2%) dan bahan & komponen untuk pembuatan (-5.6%).

Sementara itu, indeks barang siap meningkat 3.2 peratus, disebabkan oleh peningkatan dalam kelengkapan modal (4.8%) dan barangan pengguna siap (1.2%).

Pada asas bulanan, kedua-dua indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya dan barang siap masing-masing meningkat sebanyak 3.2 peratus dan 0.1 peratus.

Sementara itu, bahan perantaraan, bekalan & komponen turun negatif 0.5 peratus pada Ogos 2023.

Beliau menjelaskan, deflasi IHPR beberapa negara semakin mengecil menunjukkan pemulihan ekonomi pasca pembukaan yang perlahan dan sederhana. IHPR Amerika Syarikat meningkat 1.6 peratus berbanding 0.8 peratus pada Julai 2023.

Sementara itu, IHPR Jepun terus meningkat 3.2 peratus berbanding 3.4 peratus pada bulan sebelumnya.

Harga pengeluar China terus menurun 3.0 peratus berbandingpenurunan 4.4 peratus pada bulan sebelumnya.

Inflasi pengeluar India juga mencatatkan penguncupan yang lebih kecil 0.5 peratus (Julai 2023: -1.4%) terutamanya disebabkan oleh harga minyak mineral, logam asas, tekstil dan produk makanan yang lebih rendah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast