MHO hadir ke pejabat PTG Perak bagi menyerahkan isu berkaitan Tanah Rizab Melayu semalam.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) kecewa terhadap tindakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak yang didakwa memberikan persetujuan untuk sebuah syarikat bukan Melayu memilik tanah rizab Melayu di Sitiawan.

Untuk makluman, syarikat bukan Melayu yang memiliki tanah rizab Melayu seluas 3,214 hektar itu menukar status tanah lain milik syarikat berkenaan kepada rizab Melayu.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, jalan penyelesaian diambil PTG Perak terhadap isu itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan ada undang-undang sedia ada memperuntukkan tanah Rizab Melayu (TRM) boleh dikembalikan serta isu pemilikan tanah terbabit boleh diperbetulkan semula.

Perkara itu juga termaktub dalam Seksyen 380, Seksyen 417 dan Seksyen 419 Kanun Tanah Negara 1965.

“Sebelum ini juga MHO telah maklumkan kepada Ketua Audit Negara dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) melalui penyerahan surat bertarikh 7 April dan 15 Mei lalu.

“Berdasarkan rang undang-undang yang sedia ada adalah tidak mustahil bagi tanah-tanah Rizab Melayu yang sudah dipindah milik secara salah dan berlaku kesilapan agar dikembalikan kepada status yang asal,” katanya selepas menyerahkan memorandum berkaitan hal itu kepada PTG Perak petang semalam.

Sebelum ini ada laporan media yang menyatakan PTG Perak membuat rundingan dengan syarikat Bukan Melayu seterusnya mengarahkan syarikat terbabit yang memiliki tanah berstatus rizab Melayu seluas 3,214 hektar di Sitiawan, Manjung untuk menukar status tanah lain milik syarikat itu dengan status Rizab Melayu.

Difahamkan PTG Perak menubuhkan jawatankuasa khas dengan jabatan itu melaksanakan beberapa tindakan berhubung isu terbabit yang antara langkah awal yang diambil adalah dengan PTG Perak mengenakan sekatan ke atas semua tanah di Sitiawan berkenaan dengan memasukkan Kaveat Pendaftar.

Kata Hishamuddin lagi, andai perkara itu tidak ada sebarang penyelesaian, pihaknya juga bersedia untuk merujuk isu kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Ini kerana penyelesaian diambil oleh PTG Perak berhubung isu berkenaan tidak tepat kerana hanya dirujuk kepada Exco kerajaan negeri tanpa membabitkan sultan,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast