Ketua Pegawai Eksekutif Mudah.my memberikan cenderahati kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, PDRM setelah selesai Pelancaran Kempen #MudahdanSelamat di Gardens South Tower, KL. Foto QURRATU AINI, 26 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 22,778 kes penipuan dalam talian dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Berdasarkan Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) kesemua kes berkenaan melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM776.3 juta.

Sehubungan itu, platform jual beli dalam talian Mudah.my bekerjasama dengan JSJK bagi menangani penipuan dalam talian  menerusi kempen #MudahDanSelamat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mudah.my, Gaurav Bhasin berkata, platform jualan itu turut memperkenalkan sistem baru bagi mengetatkan saringan jualan dan pembelian yang mencurigakan.

“Automated Advance Queung System akan menilai satu persatu. Sistem ini menggunakan Teknologi kecerdasan buatan (AI) yang akan menyaring penggunaan nama akaun.

“Selain itu sistem keselamatan perbualan (Chat) juga ditingkatkan terutama mengenal pasti akaun yang mencurigakan supaya tidak dapat berbual terus dengan pelanggan / penjual,” katanya ketika pelancaran kempen #MudahDanSelamat.

Turut hadir, Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, ASP Nor Sharina Mohd Amin.

Mengulas lanjut Gaurav berkata, pada masa sama Mudah.my turut menyediakan talian langsung di platformnya untuk memudahkan proses aduan secara langsung.

“Ia boleh terus dicapai menerusi website kami, ia bukan hanya untuk mangsa penipuan tapi kalau pengguna atau penjual rasa ada akaun yang mencurigakan boleh terus buat aduan,” katanya.

Beliau menambah, platform berkenaan adalah memastikan pengiklanan jualan yang didaftarkan dengan Mudah.my dipercayai.

“Mudah.my turut menyediakan SafeDeal kepada pembeli untuk menerima barang dengan selamat selepas dibayar dengan jaminan bayaran balik,” jelasnya.

Terdahulu katanya, Mudah.my menerima 16,000 pengiklanan penjualan yang perlu disaring setiap hari. – MalaysiaGazette