Parit terhakis hampiri jalan raya bahayakan pengguna jalan raya di laluan utama Kempadang ke Pantai Sepat, Kuantan

KUANTAN – Hakisan parit yang semakin melebar di laluan utama antara Kempadang ke Pantai Sepat, di sini, bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya tetapi ia juga membimbangkan penduduk kawasan perumahan berdekatan.

Mohd Hasmadi Zakaria, 46, berkata, hakisan tersebut berlaku sejak setahun lalu dan kini sudah menghampiri bahu jalan.

“Pihak berwajib sudah maklum mengenai keseriusan situasi di situ dan ada memasang kanvas sebagai langkah sementara, tapi itu sudah enam bulan lepas,” katanya ketika dihubungi.

Mohd. Hasmadi yang merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Penduduk Taman Berjaya Permain (Zon A) memberitahu, berikutan parit yang tidak dibaiki itu telah mengakibatkan kerosakan kepada paip utama bekalan air mentah.

Bukan itu sahaja, katanya, bekalan air ke Pusat Persatuan Penduduk Zon A juga terputus sejak setahun lalu.

“Pernah juga berlaku kejadian di mana kereta dan motosikal terbabas dan masuk ke dalam parit.

“Kejadian kereta terbabas itu mungkin berlaku kerana air yang melimpah keluar dari parit selain kawasan itu berselekoh dan tiada bahu jalan yang sempurna kerana hakisan,” jelas Hasmadi.

Mohd Hasmadi Zakaria

Tambahnya, jika keadaan itu berlarutan dikhuatiri turut membahayakan lebih 500 penduduk di kawasan perumahan di kawasan terbabit, lebih-lebih lagi memasuki musim tengkujuh nanti.

Justeru, beliau berharap perhatian dan tindakan segera pihak berkenaan untuk membaik pulih secara kekal tebing parit yang terhakis, selain menukar longkang konkrit yang sudah pecah di situ. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast