GCR civil servants salary scheme CUEPACS
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa supaya tidak ada mana-mana pihak mempertikaikan pencen yang diterima kakitangan kerajaan.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata, tidak wajar untuk mana-mana ahli politik mempersoalkan keistimewaan penjawat yang menikmati skim pencen apabila majoriti daripada mereka telah berkhidmat lebih 30 tahun.

“Kami penjawat awam bukan seperti ahli politik yang berkhidmat dalam tempoh yang singkat, imbuhan yang tinggi dan dalam masa yang sama layak menikmati pencen yang besar.

“Ada dalam kalangan penjawat awam ketika ini hanya menikmati pencen sekitar RM1,000 sebulan walaupun telah berkhidmat 30 tahun.

“Sudahlah ketika berkhidmat pun gaji tidak lah tinggi dan ketika sudah pencen pula masih ramai yang mempertikaikan keistimewaan pencen mereka yang sedikit itu,” katanya dalam kenyataan.

Adnan berkata, selama ini CUEPACS mahupun kakitangan kerajaan tidak pernah cemburu atau mempertikaikan pencen yang diterima oleh mana-mana wakil rakyat.

Walaupun katanya, ada dalam kalangan wakil rakyat yang menerima lebih daripada dua pencen walaupun tempoh perkhidmatan mereka sangat singkat jika dibandingkan dengan penjawat awam.

“Sepatutnya cadangkan sahaja untuk berikan satu pencen (mana yang tertinggi) sahaja kepada ahli-ahli yang berhormat layak terima sekiranya mahu membantu menjimatkan duit kerajaan.

“Penjawat Awam berkorban untuk negara, mengabdikan diri lebih 30 tahun dengan skim pencen yang kecil tiba-tiba dapat cadangan hendak dihapuskan pula.

“Pendirian CUEPACS adalah jelas iaitu kita tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk cadangan untuk mengurangkan keistimewaan sedia ada yang dimiliki penjawat awam ketika ini termasuklah dalam hal berkaitan pencen,” tegasnya.

Justeru CUEPACS menyifatkan sebarang cadangan untuk menghapuskan atau membatalkan kemudahan pencen yang dinikmati oleh penjawat awam pada masa hadapan sebagai suatu cadangan yang mengarut dan tidak wajar dibangkitkan.

Tegasnya, skim pencen yang menjadi keistimewaan kepada penjawat awam di negara ini tidak wajar dilihat sebagai suatu bebanan oleh kerajaan.

Ini kerana ia merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan yang diberikan penjawat awam sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dahlah mereka diberi pencen banyak menyonglap duit rakyat pun licik. Jangan ceritalah komesyen drp kontrek kerajaan juta-juta. Kalau pegang jawatan menteri lagi songlapnya pun Allah swt sahaja yg tau. # bangla

Comments are closed.