LONDON – Pemain tengah, Sofyan Amrabat akhirnya disenaraikan dalam kesebelasan utama Manchester United dan merupakan salah seorang pemain penting pada aksi Piala Carabao, pagi tadi.
Bergelar satu-satunya pemain Maghribi yang menyarung jersi United, dia menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam perlawanan berkesudahan United menang 3 – 0 ke atas Crystal Palace.
Kelibatnya dilihat berada di mana-mana sahaja atas padang dan mampu memainkan peranan di pelbagai posisi seperti bek kiri dan tengah bertahan.
Bukan itu sahaja, malah kehadiran Sofyan juga berjaya mengubah prestasi pemain lain di sekelilingnya. Antara yang ketara dapat dilihat adalah memberi peluang kepada Casemiro untuk lebih menyerlah serta bangkit semula daripada prestasi tidak konsisten kebelakangan ini.
“Saya akan bermain sebagai penjaga gol jika Manchester United memerlukannya beraksi di posisi berkenaan.
“Ini adalah impian saya sejak saya kecil, bermain untuk Man United. Saya bermain di mana saya boleh membantu pasukan, walaupun sebagai penjaga gol! Saya bermain demi lencana di dada,” katanya selepas perlawanan berakhir memetik laporan Buletin Manchester United.
Pada perlawanan itu, Casemiro juga dilihat kerap memberi ancaman di kawasan suku keempat padang.
Ini kerana Sofyan bertindak melindungi beliau dan membolehkan pemain kelahiran Brazil itu bebas berada sedikit di bahagian atas tanpa perlu bimbang dengan serangan balas daripada pasukan lawan. – Agensi