Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Keputusan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi kebenaran pembelian beras putih import pada harga borong kepada persatuan restoran, pengusaha makanan dan penjaja kecil adalah untuk membantu mereka mendapatkan bekalan itu bagi melancarkan perniagaan masing-masing.

KPKM menerusi kenyataan kepada media hari ini menjelaskan, harga borong yang dibenarkan ialah RM160 bagi 50 kilogram iaitu harga di pintu gudang.

Melalui kaedah itu, kata KPKM, peniaga dapat mengawal kos operasi dan memastikan harga nasi yang dijual tidak dinaikkan harga.

Pada masa sama, usaha itu juga untuk memastikan bekalan beras putih tempatan dapat distabilkan dengan mengurangkan pembelian yang banyak oleh pengusaha restoran, makanan dan penjaja kecil untuk kegunaan perniagaan berbanding pembelian bagi keperluan isi rumah.

“KPKM hendak memberikan penjelasan dan maklum balas kepada kenyataan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin berkenaan cadangannya untuk menaikkan harga siling beras putih tempatan kepada RM34 setiap 10 kilogram.

“Mereka juga bercadang pembelian beras putih import dengan harga borong oleh pengusaha restoran seperti yang dilaporkan dalam Free Malaysia Today semalam.

“Dalam hal ini, KPKM mengambil langkah tersebut untuk mengimbangi keperluan beras bagi tujuan perniagaan dan kegunaan isi rumah dalam tempoh permintaan yang tinggi kepada bekalan berat putih tempatan pada masa ini,” katanya.

Ini berikutan kenyataan Ameer Ali berhubung keputusan berkenaan yang dikhuatiri mewujudkan monopoli dan cadangannya untuk menaikkan harga siling beras putih tempatan kepada RM34 setiap 10 kilogram.

Menurut kenyataan itu, persetujuan telah dicapai melalui sesi libat urus antara KPKM dan persatuan restoran, pengusaha makanan dan penjaja kecil pada 15 September lalu.

Berkait dengan cadangannya untuk menaikkan harga berat putih tempatan, KPKM memaklumkan, harga di peringkat runcit masih dikawal pada kadar RM2.60 sekilogram sebagaimana tertakluk di bawah Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) (Pindaan No.4) 2008, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522]. – MalaysiaGazette