Pemandu kereta Nisaan Almera yang melarikan diri selepas melanggar sebuah motosikal di Jalan Gombak, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pemandu kereta Nissan Almera terpaksa melarikan diri apabila beliau dikejar sekumpulan penunggang motosikal kerana melanggar sebuah motosikal dan sebuah kereta di Jalan Gombak, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku semasa sebuah motosikal Yamaha 135LC yang berhenti di lampu isyarat dilanggar kereta Nissan Almera itu dari belakang selain bahagian belakang sisi sebelah kiri kereta Proton Saga.

“Selepas itu, pemandu kereta jenis Nissan Almera itu telah melarikan diri dengan memecut laju tanpa memberhentikan kenderaan selepas dia telah dikejar oleh beberapa buah motosikal untuk mengarahkan kereta suspek supaya berhenti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Video kejadian tersebut tular di media Twitter pada pagi ini.

Menurut Sarifudin, pemandu kereta Nissan Almera masih belum membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987.

Semakan mendapati nombor pendaftaran Nissan Alemera adalah milik orang lain dan polis sedang mengesan pemandu itu.

Difahamkan polis menerima laporan mengenai kehilangan plat kereta yang digunakan pada Nisaan Alemera pada 22 September lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari yang mengesahkan pihaknya elah menerima laporan mengenai kemalangan tersebut berkata, kes disiasat Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette