Salah seorang daripada remaja yang cedera akibat dihempap pokok ketika mandi di Air Terjun Batu Bertenggek, Kuala Kubu Bahru. Foto: Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Tiga sekawan cedera dihempap pokok ketika mandi di Air Terjun Batu Bertenggek, Kuala Kubu Bahru di Hulu Selangor, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada awam melaporkan mengenai insiden tersebut pada jam 11.59 pagi.

Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan itu sepasukan anggota bomba dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bahru digerakkan ke air terjun itu untuk tindakan lanjut.

“Selepas tiba di lokasi berkenaan laporan awal yang diterima mendapati sebatang pokok setinggi 10 meter telah tumbang dan menghempap tiga rakan kenalan yang datang dari Shah Alam dan sedang bermandi manda di air terjun tersebut.

“Insiden itu telah mengakibatkan ketiga-tiga mangsa yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki tersepit di bawah pokok tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa pertama yang dikenalpasti sebagai Khairunnisa Khaiyazi, 24, mengalami kecederaan parah di pergelangan kaki kanan, pinggang dan muka.

“Manakala dua lagi rakannya hanya sekadar cedera ringan iaitu Amirah Batrisyia Adam Khan, 21, tercedera di kaki kiri manakala Amirul Wahyudin Mohd Din, 24, tercedera di bahu kanan, siku kanan dan belakang badan.

“Anggota bomba yang berada di lokasi telah terlibat dalam kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang itu dan berjaya menyelamat serta mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang tersepit selama 15 minit di bawah pokok itu untuk tindakan rawatan lanjut,’ ujarnya. – MalaysiaGazette