KUALA LUMPUR – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencederakan pembantu rumahnya warga Indonesia menggunakan batang besi penyedut habuk (vakum) di sebuah rumah minggu lalu.
Tertuduh Lee Chee Huat, 46, didakwa selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menyebabkan kecederaan ke atas Darsinih, 29, dengah menggunakan batang besi penyedut habuk.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit apartment di Jalan Prima 10, Metro Prima di sini pukul 10.30 pagi pada 22 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamalludin Akbal tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan yang dilakukakan tertuduh tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun peguam Vincent Chew memohon mahkamah memberi ikat jamin dengan jumlah jaminan yang rendah.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 November ini bagi sebutan semula kes.
Kelmarin, media melaporkan wajah sugul pembantu rumah warga Indonesia berdiri di pintu jeriji sebuah unit kondominium di Kepong di sini, membongkar kesengsaraan dirinya apabila mendakwa menjadi mangsa pukul oleh majikannya.
Dalam kejadian pukul 3 petang Jumaat lalu, wanita berusia 29 tahun itu dilihat berada di pintu rumah selama 15 minit sambil memerhatikan pekerja sebuah syarikat logistik memindah masuk barang di rumah jirannya.
Wanita itu kemudian memberanikan diri meminta bantuan daripada pekerja terbabit untuk membantu menyelamatkannya dengan menghubungi pihak berkuasa.
Semalam Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, polis sudah melengkapkan kertas siasatan dan mendapat arahan untuk menuduh suspek hari ini. – MalaysiaGazette