Suasana ruang solat Masjid Murtadha Dakwah Centre atau lebih di kenali sebagai Masjid MADAD ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Murtadha Dakwah Centre, Sungai Petani, Kedah. Foto WAN NABIL NASIR, 24 SEPTEMBER 2023.

SUNGAI PETANI – Pelancongan masjid merupakan satu subset kepada pelancongan Islam.

Satu daripada destinasi lawatan para pelancong asing ke negara-negara Islam ialah menziarahi masjid.

Antara masjid yang menjadi pilihan pelancongan di dunia hari ini adalah Masjid Al-Haram dan Masjid Nabawi di Arab Saudi, Masjid Aya Sofia dan Masjid Biru di Turki, Masjid Istiqlal di Indonesia dan Masjid Hasan 2 di Casablanca, Maghribi.

Malaysia juga memiliki beberapa aset ini yang dapat menarik para pelancong untuk menziarahi negara-negara tersebut seperti Masjid Negara di Kuala Lumpur.

Apa yang pasti, matlamat untuk memyebarluaskan peranan masjid tidak akan tercapai sekiranya aspek-spek fizikal dan pembangunan masjid terbiar.

Dengan mengambil kira Malaysia sebagai sebuah negara yang dihuni oleh majoriti masyarakat Islam, adalah wajar masjid yang memiliki reka bentuk unik di negara ini dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan.

Malah al-Quran turut menyebut perkataan masjid sebanyak 26 kali dan ini menunjukkan peranan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti Islam cukup besar.

Suasana Masjid Murtadha Dakwah Centre atau lebih di kenali sebagai Masjid MADAD, masjid yang mesra musafir dan kanak kanak ini di lengkapi taman permainan kanan-kanak yang dibina di dalam masjid ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Murtadha Dakwah Centre, Sungai Petani, Kedah. Foto WAN NABIL NASIR, 24 SEPTEMBER 2023.

Menyedari hal itu, Masjid Darul Murtadha, Murtadha Dakwah Centre (Madad) atau lebih dikenali Masjid Madad kini menjadi tular gara-gara fungsinya yang pelbagai di mana bukan sekadar tempat datang untuk beribadat sahaja.

Bayangkan masjid milik Yayasan Murtadha Berhad  turut memiliki hotel kapsul untuk musafir menginap secara percuma, perpustakaan dan taman permainan untuk kanak-kanak di dalam masjid yang kedap bunyi.

Ini membolehkan kanak-kanak boleh bermain-main dengan bebas ketika ibu bapa beribadah di dalam masjid. Malah bahagian dalam taman permainan itu terdapat gelongsor dan beberapa permainan yang membantu kanak-kanak untuk mengenal huruf-huruf hijaiyah.

Melangkah masuk ke dalam masjid yang terletak di Kampung Teluk, Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah, anda pasti berasa kagum akan kemudahan yang disediakan dalam masjid ini.

Selain reka bentuk dalaman yang minimal, ruang tandas dan bilik mandi masjid ini juga ibarat kita berada di hotel mewah.

Suasana tempat berwuduk Masjid Murtadha Dakwah Centre atau lebih di kenali sebagai Masjid MADAD yang berkonsepkan bilik air hotel mewah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Murtadha Dakwah Centre, Sungai Petani, Kedah. Foto WAN NABIL NASIR, 24 SEPTEMBER 2023.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Murtadha Berhad, Ustaz Mohammad Yaakub Yusra Mohd. Yusof sejak dibuka sejak April, pengunjung yang hadir tidak putus-putus setiap hari walaupun infrastrukur di kawasan sekeliling masjid belum siap sepenuhnya.

Malah kata beliau, lebih 2,000 umat hadir pada kuliah kitab dan Pengajian al-quran setiap Sabtu yang melibatkan lebih 18 bas daripada negeri lain.

“Kos pembinaan masjid ini bernilai RM7 juta dan berjaya disiapkan selama 13 bulan sahaja. Masjid ini dibuka sejak April tanpa kemudahan tandas gara-gara permintaan orang ramai yang tidak sabar untuk datang mengunjungi sehingga kami terpaksa memaklumkan pengunjung perlu mengambil wuduk terlebih sebelum datang.

“Keunikan masjid ini ada yang panggil macam biskut empat segi kerana reka bentuk yang sangat minimal. Namun apa yang penting bagaimana untuk mengimarahkan masjid ini.

“Kami tidak mahu terdapat stigma bahawa fungsi masjid hanya datang  untuk solat, belajar ilmu, ketika orang meninggal dunia dan solat jenazah padahal menurut kajian terdapat lebih 25 fungsi sesebuah masjid itu,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Ustaz Mohammad Yaakub Yusra menunjukkan hotel kapsul yang terdapat di Masjid MADAD yang dilengkapi penghawa dingin dan setiap kapsulnya turut disediakan dengan lampu dan soket untuk para musafir berehat tanpa dikenakan sebarang bayaran ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Murtadha Dakwah Centre, Sungai Petani, Kedah. Foto WAN NABIL NASIR, 24 SEPTEMBER 2023.

Mohammad Yaakub Yusra menambah, masjid itu beroperasi selama 24 jam untuk  menjadi pusat sehenti di mana lengkap dengan kapsul hotel yang menyediakan untuk bilik lelaki dan wanita termasuk bilik keluarga percuma.

Menurut beliau, kemudahan yang disediakan itu boleh dikunjungi semua orang termasuk musafir yang ingin berehat sebelum meneruskan perjalanan.

Katanya, tujuan masjid itu dibuka sepanjang masa kerana tidak mahu menutup rumah Allah itu untuk meraikan sirah Nabi Muhammad SAW yang membina Masjid Nabawi sebagai pusat sehenti bagi golongan miskin, anak yatim piatu serta musafir.

“Masjid ini juga mempunyai keunikan sendiri di mana reka bentuknya melawan arus daripada reka bentuk masjid yang ada di negara ini kerana tidak mempunyai kubah dan diinspirasikan daripada Masjid Cologne di Jerman yang saya kunjungi pada 2019.

“Ia bukan masjid pertama yang tidak berkubah di negara tetapi di Madad mementingkan fungsi serta praktikaliti selepas memikirkan kos penyelenggaraan kubah yang tinggi dan berisiko tinggo mengalami kebocoran disebabkan negara ini memiliki taburan hujan yang tinggi sepanjang tahun,” katanya.

Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Ustaz Mohammad Yaakub Yusra ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Murtadha Dakwah Centre, Sungai Petani, Kedah. Foto WAN NABIL NASIR, 24 SEPTEMBER 2023.

Mohammad Yaakub Yusra berkata, Masjid Madad itu merupakan sebahagian daripada fasiliti dalam pusat komuniti Islam pertama bertaraf antarabangsa di negara ini dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM35 juta yang dibangunkan

“Pusat komuniti yang dibangunkan di kawasan seluas 13 hektar sejak 2018 itu kini memasuki fasa kedua pembinaannya dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun akhir 2025.

“Selain masjid, pusat komuniti itu akan dilengkapi dengan pusat tahfiz integrasi dan pusat pengurusan jenazah, rumah warga emas, stadium e-sports dan futsal, hub sukan sunah seperti memanah serta penyediaan khidmat pengurusan jenazah termasukan sebuah Taman Kucing yang dikhaskan untuk kucing jalanan yang terbiar,” katanya.

Pengunjung yang hadir meluangkan masa bermain bersama kucing yang terdapat di Taman kucing MADAD ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Kucing Murtadha Dakwah Centre, Sungai Petani, Kedah. Foto WAN NABIL NASIR, 24 SEPTEMBER 2023.

Beliau memberitahu, Masjid Madad juga akan dilengkapi dengan menara ilmu falak yang mendapat kerjasama dengan Persatuan Falak Selangor selain pemasangan teknik cahaya bagi menentukan arah kiblat yang tepat

“Semua kos pembinaan adalag datang hasil sumbangan orang ramai dan jualan e-book yang diusahakan kami selama ini.

“Pada masa sama, syarikat kami iaitu Murtadha Dakwah Cetre (Madad) memiliki 14 anak syarikat yang terlibat dalam pertanian, penternakan, perikanan, kontraktor dan unit saham serta kripto selain menjadi kontraktor sebelum ini.

“Justeru pembiayaan pusat komuniti dibiayai oleh anak syarikat Madad dengan bisnes utama dalam percetakan e-book , projek perumahan dan townhouse sejak 2019,” katanya sambil memberitahu semua penyataan kewangan sumbangan diuruskan oleh syarikat audit bertaliah. – MalaysiaGazette

Suasana Masjid Murtadha Dakwah Centre atau lebih di kenali sebagai Masjid MADAD, masjid yang mesra musafir dan kanak kanak ini di lengkapi taman permainan kanan-kanak yang dibina di dalam masjid ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Murtadha Dakwah Centre, Sungai Petani, Kedah. Foto WAN NABIL NASIR, 24 SEPTEMBER 2023.