Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (kanan) bersama Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim (tengah) dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar (kiri) hadir pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 29 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim bersara mulai esok selepas lebih 35 tahun menabur bakti dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau diraikan dalam Majlis Paluan Berundur yang diadakan sempena persaraannya di Dataran Kawad di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir menyempurnakan majlis paluan berundur tersebut.

Pada majlis tersebut, Mat Kasim diberi penghormatan untuk memimpin pasukan pancaragam PDRM.

Dilahirkan pada 5 Mei 1964, Mat Kasim yang merupakan anak kelahiran Kuantan, Pahang itu memulakan kerjayanya sebagai Kadet Penolong Penguasa Polis pada 28 Februari 1988 dengan menjalani latihan asas di Pulapol.

Beliau kemudian telah mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Hayati Dali, dikurniakan tiga cahaya mata terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan.

Sepanjang kerjayanya, Mat Kasim telah memegang pelbagai jawatan dalam PDRM termasuk sebagai Komandan Maktab Teknik PDRM Bakri, Johor pada 2016, Timbalan Pengarah Teknikal Operasi Jabatan Logistik dan Teknologi pada tahun 2017.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah (2018), Ketua Polis Melaka (2019), Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman (2020) sebelum dilantik ke jawatan terakhirnya sebagai Pengarah JSPT pada September 2021.

Sebagai menghargai bakti ditabur Mat Kasim, graduan lulusan Sains Komputer dari Universiti Teknologi Mara itu telah dikurniakan dengan pelbagai anugerah termasuk Darjah Kebesaran Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang, Darjah Kebesaran Pangkat Pertama Panglima Gagah Pasukan Polis dan Panglima Setia Pasukan Polis. – MalaysiaGazette