KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk seri Anwar Ibrahim mengakui memang ada berlaku kenaikan harga barang di negara ini hingga mencetuskan keresahan mendesak kerana ia memberi kesan kepada perbelanjaan rakyat.
Oleh itu, menurutnya, Kementerian Kewangan (MOF) sedia menampung dan memberi bantuan tambahan bagi mengimbangi kesan terhadap kenaikan harga barangan berkenaan.
“Saya sudah minta (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk) Armizan (Mohd Ali) dan (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup) Fuziah (Salleh) beri perhatian.
“Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga berjalan.
“Memang ada masalah. Saya akui masalah harga barang dan keperluan.
“Negara sudah ada keresahan sosial yang besar kerana sekatan beras dan peningkatan cukai eksport, bawang umpamanya. Itu semua beri kesan ekonomi dan kita cuba tangani. MOF sedia tampung, beri bantuan akan diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji (TH) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Azman Mokhtar.
Sebelum ini, media melaporkan harga barangan pengguna dijangka meningkat sehingga 20 peratus menjelang Oktober tahun ini dengan didorong dua faktor utama iaitu inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan di Malaysia.
Situasi berkenaan dikesan Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) berikutaan peningkatan 20 peratus kos pengeluaran dan operasi dalam kalangan ahli KLSICCI sejak Januari lalu.
Katanya, peningkatan kos itu ekoran kemerosotan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sehingga mendorong berlaku inflasi import pada kadar tinggi. – MalaysiaGazette