MELAKA – Aktiviti puluhan kapal dagang yang berlabuh di perairan Tanjung Kling sejak tujuh tahun lalu terus menjejaskan ekonomi hampir 250 nelayan di tujuh pangkalan di sini, biarpun dijanjikan masalah itu dapat diatasi sebelum ini.
Ketua Komuniti Nelayan Pangkalan Tanjung Kling, Aziz Jaapar, 59, berkata, pelbagai aduan dan dialog sudah disertai mereka sejak masalah itu timbul pada 2015 namun tidak pernah selesai sehingga ke hari ini.
Sebaliknya, menurut beliau, kawasan utama pencarian sumber hasil laut mereka kini semakin mengecil kerana dipenuhi dengan aktiviti pelabuhan kapal dagang sekali gus menjejaskan sekuriti makanan negara jika dibiarkan berlarutan.
“Ini bukan sahaja menyebabkan hasil tangkapan kami berkurangan sehinggakan nak dapat RM70 sehari pun payah, bahkan terpaksa menanggung kos minyak yang lebih tinggi apabila terpaksa beralih ke tengah laut.
“Lebih malang, apabila peralatan menangkap seperti pukat rosak apabila dilanggar kapal dagang seperti yang saya alami kelmarin menyebabkan kerugian RM500,” katanya kepada pemberita di Pangkalan Kampung Hailam di sini.
Tambahnya, masalah sama turut dialami nelayan di enam pangkalan lain termasuk Pantai Puteri, Balik Bukit, Tanjung Keling, Sungai Lereh, Klebang dan Perigi.
“Bila kami minta kerjasama kapal untuk beralih, mereka kata tak boleh kerana koordinat itu telah ditetapkan Jabatan Laut seolah-olah sumber rezeki kami untuk menjamin bekalan sekuriti makanan negara ini tidak penting,” katanya.
Nelayan muda, Nur Muhammad Azri Mustafa, 33, berkata, persempadanan zon kapal yang telah diwartakan sebelum ini perlu dikaji semula bagi mengelakkan pertembungan antara komuniti nelayan dan syarikat perkapalan.
“Mei lalu, Dr. Muhamad Akmal Saleh (Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri) sudah menetapkan yang mana zon kapal dan zon nelayan tetapi nampaknya masalah itu masih gagal diselesaikan malah kapal semakin bertambah.
“Saya yakin jika masalah ini berterusan, pewaris nelayan akan pupus kerana tiada yang berminat apabila sekadar mampu meraih pendapatan sekitar RM900 sebulan.
Shaari Rabu, 54, menggesa kerajaan melakukan persempadanan semula zon perikanan sekurang-kurangnya 10 batu nautika dari pesisir pantai.
“Kawasan ini perlu dijadikan zon bebas aktiviti kapal dagang bagi menjamin pendapatan nelayan demi kelangsungan sektor perikanan negara,” katanya. – MalaysiaGazette