Pengunjung tetap melakukan aktiviti riadah petang walaupun keadaan berjerebu dan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) berada pada paras tidak sihat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dicatatkan di Cheras yang merekodkan bacaan 151 kira-kira jam 10 pagi ini.

Catatan itu direkodkan dalam laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) turut menyenaraikan Shah Alam dan Nilai dengan IPU tidak sihat melebihi 100 pagi ini.

Shah Alam, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan pula merekodkan bacaan pada tahap 103 dan 110.

Sementara itu, enam stesen iaitu tiga di Sabah dan tiga lagi di Sarawak merekodkan IPU pada tahap baik apabila mencatatkan bacaan di bawah 50.

Keenam-enam stesen tersebut adalah Sarikei (49), Sibu (46) dan Miri (48) di Sarawak manakala di Sabah pula membabitkan stesen di Sandakan (48), Tawau (39) dan Kimanis (31). -MalaysiaGazette