KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan 5,809 saman terhadap pengguna atas pelbagai kesalahan lalu lintas pada hari terakhir Operasi Hormat Undang-Undang (HUU) Jalan Raya Polis Kuala Lumpur yang dilaksanakan semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam operasi itu polis melakukan sitaan dan tangkapan berikutan beberapa kesalahan berat dilakukan pengguna jalan raya dikeluarkan kerana halang lalu lintas termasuk tiada lesen memandu dan lesen kenderaan motor (LKM) serta ekzos mengeluarkan bunyi bising.
“Mengikut pecahan kesalahan angka pengguna jalan raya yang terlibat dalam kesalahan halangan lalu lintas masih tinggi apabila sebanyak 4,818 saman dikeluarkan sementara sebanyak 644 saman lagi dikenakan atas kesalahan lain.
“Manakala sebanyak 134 saman dikeluarkan terhadap pengguna yang tidak memiliki lesen memandu dan empat lagi saman kesalahan sama dikeluarkan terhadap warga asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Sarifudin, untuk kesalahan melanggar lampu isyarat merah sebanyak 58 saman manakala sebanyak 51 saman dikeluarkan atas kesalahan mengubahsuai nombor pendaftaran atau fancy.
“Sementara itu, sebanyak 98 saman dikeluarkan ke atas pesalah yang didapati memberhentikan kenderaan di laluan pejalan kaki atau garisan putih.
“ Dalam pada itu hanya dua saman yang dikeluarkan polis melibatkan kesalahan berhenti di petak kuning,” ujarnya. _ MalaysiaGazette