Najib Razak
Isham Jalil memberi pandangan ketika menjadi ahli panel pada sesi bertajuk 'Konsep 1Malaysia Yang Inklusif' pada program sesi dialog awam 'Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?' di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 30 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli disarankan supaya berjumpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan nasihat bagi menangani masalah ekonomi yang melanda negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil berkata, Rafizi boleh berbuat demikian dengan melawat Najib di Penjara Kajang.

Beliau percaya Najib yang juga bekas Menteri Kewangan tahu apa yang perlu dilakukan bagi menyelesaikan isu-isu seperti kenaikan harga barangan serta kekurangan bekalan beras.

“Sebab itu saya beritahu kerajaan sekarang, beritahu Rafizi, kalau tak tahu apa sangat nak buat pergilah Kajang, tanya Datuk Seri Najib.

“Kalau malu nak tanya saya, tanya Datuk Seri Najib,” katanya ketika menjadi ahli panel pada sesi bertajuk ‘Konsep 1Malaysia Yang Inklusif’ pada program sesi dialog awam ‘Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?’ di Wisma MCA di sini, hari ini.

Sesi yang dikendalikan Timbalan Presiden Pertubuhan Rangkaian Kebajikan Erat Nusa Rakyat (BeNAR) Malaysia, Dr Aaron Yusof Abdullah itu turut disertai dua lagi ahli panel iaitu Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker dan Presiden Makkal Sakthi, Datuk Seri RS Thanenthiran.

Program tersebut dianjurkan secara bersama oleh Pertubuhan BeNAR Malaysia, Nusa Sejagat Malaysia, Malaysian Youth Activist (Malaya) dan UMNOSiswa.

Sementara itu, Isham meminta kerajaan memberi penjelasan mengenai perkembangan proses pengampunan diraja untuk Najib.

“Kalau tak ada pergerakan langsung, macam mana kita nak proses atau pun tak proses? Adakah mereka melengah-lengahkan dan sebagainya?” soalnya.

Sehubungan itu, beliau mengulangi cadangannya sebelum ini agar Najib diberi kelonggaran untuk menjalani hukuman tahanan di rumah sementara menunggu pengampunannya.

Isham memberitahu, cadangan itu boleh dipertimbangkan oleh kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Kita bagi dia balik rumah, kita bagi dia menulis, bagi dia bercakap, bagi dia bantu selesaikan masalah kita,” jelasnya. – MalaysiaGazette