HANGZHOU – Ratu trek negara, Shereen Samson Vallabouy berjaya menamatkan penantian 17 tahun Malaysia untuk meraih sebutir pingat dalam acara olahraga di Sukan Asia, selepas merangkul gangsa acara 400m wanita pada malam ini.
Atlet berusia 25 tahun itu, mencatatkan 52.58s di Stadium Olimpik Hangzhou di sini, sedikit perlahan berbanding rekod kebangsaan miliknya 51.80s.
Seperti dijangka, pelari Bahrain menamatkan saingan di kedudukan dua teratas, apabila Adekoya Oluwakemi Mujidat meraih emas dengan larian 50.66s, manakala Salwa Eid Naser (50.92s) membawa pulang perak.
Shereen, atlet berpangkalan di Amerika Syarikat itu, mara ke final selepas memenangi saringan ketiga pusingan pertama dengan catatan 52.89s.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat di temasya Sukan Asia adalah pada edisi 2006 di Doha, Qatar apabila Roslinda Samsu dan Noraseela Mohd Khalid masing-masing meraih perak dalam acara lompat bergalah dan gangsa dalam 400m lari berpagar wanita.
Pemenang pingat emas terakhir Malaysia di Sukan Asia adalah Datuk Rabuan Pit yang muncul juara 100m lelaki pada edisi 1982 di New Delhi, India. – Bernama