BENTONG – Kemenangan Perikatan Nasional (PN) di 74 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) merupakan arus gelombang rakyat dan bukannya gelombang hijau.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengingatkan Datuk Seri Mohamad Hasan agar tidak memperlekehkan Pas berkata, Timbalan Presiden UMNO itu perlu menerima hakikat bahawa ahli parti tersebut memberi undi protes kepada PN.
“Gelombang hijau tak ada cuma ada gelombang rakyat. Mungkin mereka ingat gelombang hijau untuk perlekeh kami parti yang warna hijau ini.
“Tok Mat tak usah perlekeh kami, kerusi kami 74 tambah satu, UMNO cuma 26 kena ingat itu. Jangan cakap seolah-olah hebat. Tak hebat, UMNO sudah tak hebat. UMNO cuma hebat sebab bangunan dia besar,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Kelmarin, Mohamad yang mengulas kenyataan seorang veteran UMNO yang menggesa rombakan segera dilakukan terhadap barisan pimpinan parti itu di Terengganu yang dibadai’ gelombang hijau pada PRU15 dan Pilihan Raya Negeri lalu berkata, beliau akan memberi tumpuan memenangi pelangai sebelum memperhalusi dan membincangkan status kedudukan UMNO Terengganu.
Shahidan mendakwa, UMNO telah beralih arah selepas parti itu mengkhianati prinsip perjuangan apabila bersama DAP.
Tambahnya, beliau yakin pengundi Pelangai akan bersama PN secara senyap-senyap kerana tidak berpuas hati dengan tindakan parti itu bersama DAP yang dikatakan meminggirkan agenda Melayu. – MalaysiaGazette
Tipu rasuah dan fitnah slogan kamu.