PAPAR – Sebanyak 15 daerah di Sabah yang berhadapan risiko banjir diharap dapat memastikan kesiapsiagaan menerusi pusat pemindahan sementara (PPS) selain tindkaan pihak berkuasa tempatan untuk mula memeriksa longkang dan saliran agar tidak tersumbat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali mahu semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah diaktifkan serta-merta bagi memastikan persiapan dan koordinasi peringkat daerah dilaksanakan serta-merta untuk menyelaras agensi bersama badan bukan kerajaan.
“Sebanyak 332 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dikenal pasti di seluruh Sabah bagi menghadapi bencana terutama banjir dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
“Kesemua PPS itu mampu menempatkan seramai 129,096 orang dan tindakan proaktif lain juga sedang dibuat bagi memastikan semua pihak bersedia menghadapi bencana tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Jaringan Komuniti Madani (Jakma) di sini hari ini.
Armizan menambah, berdasarkan MTL tahun lepas, sebanyak 15 daerah di Sabah dilanda banjir dengan pembukaan 103 PPS melibatkan 17,565 mangsa.
Pada 14 Septeber lepas, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Helmi Abdullah dilaporkan berkata Fasa Peralihan Monsun bermula pada 19 September dan berterusan hingga November.
Dalam perkembangan lain, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan banjir yang berlaku di daerah Beaufort sejak 22 September lepas telah pulih sepenuhnya dan 134 penduduk yang ditempatkan di PPS Dewan Selagon telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. – MalaysiaGazette