BENTONG – “Dalam politik ini mana ada pinang-pinang”.
Itu reaksi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani apabila ditanya adakah beliau sudah ‘dipinang’ untuk memegang jawatan menteri rentetan spekulasi Kabinet bakal dirombak tidak lama lagi.
Jelasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyusun strategi dengan memilih mereka yang berkebolehan di posisi masing-masing.
“Politik ini apabila dia jadi Perdana Menteri, dia (Anwar) akan susun dia punya barisan dan pasukan. Dia macam main bola.
“Dia tak boleh main sorang-sorang, kena ada pasukan. Kerajaan begitu juga kena ada pasukan. Jadi pasukan masing-masing ada kepakaran tapi dia kena ambil masa menyesuaikan dari segi perjalanan kerajaan,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di sini hari ini.
Tambah Johari, rakyat perlu memberi masa secukupnya kepada Anwar demi masa depan negara.
“Sebab itu tidak boleh paksaaan. Dan tidak boleh paksa PM untuk dia buat apa lebih baik untuk negara. Jadi sebab itu kita kena bagi masa. Masa 10 bulan ini masih pendek untuk dia mentadbir kerajaan,” akuinya.
Terdahulu media melaporkan beberapa portfolio baharu dijangka dalam Kabinet dan ia dikatakan turut membabitkan nama Johari.
Manakala Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rombakan Kabinet mungkin hanya khabar angin dan beliau memilih untuk fokus pada PRK Pelangai pada 7 Oktober ini. – MalaysiaGazette