KUALA LUMPUR – Orang ramai masih lagi mengeluh berikutan ketiadaan beras tempatan di kebanyakan tempat sehingga menyebabkan mereka terpaksa membeli beras import yang harganya lebih mahal.
Malah di beberapa pasar raya sekitar Lembah Klang didapati situasi masih lagi sama dan tiada sebarang pembaharuan berhubung isu yang dihadapi oleh rakyat, kata Ahli Dewan Tertinggi Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dr. Mohamad Izwan Zainal.
Justeru Putra mencadangkan kerajaan menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diberikan tanggungjawab untuk mengurus proses dan tansaksi padi di antara pengeluar (petani) dan pengguna (pembeli).
“Tanpa menggunakan sistem hari ini yang terlalu banyak lapis antara petani dan pembeli. FAMA atau Pertubuhan Peladang boleh melaksanakan tugas ini dan perlu diperkasakan.
“Kementerian Pertanian di bawah Mohamad Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan) perlu menggunakan pendekatan proaktif berbanding re-aktif yang ketika ini hanya menunggu krisis datang baru hendak respons.
“Sepatutnya kementerian ini perlu digembelingkan tenaga mereka untuk sensitif dengan isu semasa bukan hanya memantau, pantau, dan akhirnya di pantau yang mana aktiviti ini setaraf dengan kanak-kanak di peringkat sekolah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohamad Izwan yang juga Biro Ekonomi dan Sara Hidup Parti Putra berkata, bagi pendekatan jangka masa pendek, memandangkan “kononnya” beras tempatan tiada di pasaran, harga beras import sepatutnya dijadikan barangan Kawalan sementara untuk sepanjang tempoh krisis ini.
Selain itu kata beliau, beras import juga boleh disalurkan subsidi Sementara untuk satu tempoh jangka masa tertentu.
Jelasnya, dengan adanya inisiatif sedemikian ia akan memberikan kesan positif kepada kuasa membeli rakyat agar keterjaminan makanan ini ada dan sebagai satu tindak balas kecemasan.
“Manakala bagi perancangan jangka masa panjang, berdasarkan penemuan-penemuan yang dijumpai oleh seorang YB (Yang Berhormat) kepada penemuan simpanan-simpanan beras tempatan memperlihatkan ekonomi Malaysia di kuasai oleh kapitalis-kapitalis yang merupakan kartel-kartel yang tidak berhatikan rakyat, tidak berhati perut, tapi hanya perpaksikan kepada keuntungan,” katanya. – MalaysiaGazette