KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menafikan satu laporan tular di media sosial yang memetik menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkaitan pembelian beras serta kegemukan.
Ia memaklumkan poster yang sedang tular itu adalah fitnah dan tidak betul.
“Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah dilaporkan berhubung perkara ini untuk tindakan selanjutnya.
“Orang ramai adalah dinasihatkan supaya menyemak dahulu kesahihan semua kandungan yang diviralkan supaya tidak mudah terpedaya dengan fitnah yang sengaja direka,” katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi poster berita yang ditularkan itu, ia kononnya memetik kenyataan Mohamad yang seolah-olah menasihatkan rakyat supaya membeli beras ikut keperluan, jangan makan terlalu banyak kerana boleh menggemukkan badan. – MalaysiaGazette