Anwar mendengar laporan dan taklimat daripada pihak bomba berkaitan perkembangan kebakaran di Sekolah Kebangsaan Permatang To’ Kandu, Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Kerajaan akan memperuntukkan dana awal berjumlah RM1.9 juta bagi membaiki semula stuktur bangunan Sekolah Kebangsaan Permatang To’ Kandu, Permatang Pauh di sini, yang musnah dalam kebakaran pada 22 September lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses tender terhad digunakan untuk membaiki semula struktur bangunan tersebut supaya proses pembaikian dapat dipercepatkan.

“Jumlah awal dana belum dihitungkan tetapi sekitar RM1.9 juta dan kita juga sedang menunggu laporan penuh dari Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk proses berikutnya.

Anwar (tengah) melawat Sekolah Kebangsaan To’ Kandu susulan sebahagian struktur bangunan sekolah itu musnah dalam kebakaran pada 22 September lalu.

“Jika laporan siap minggu depan, kita akan terus laksanakan proses membaiki pulih agar sekolah boleh beroperasi semula secepat mungkin,” katanya ketika mengadakan lawatan di sekolah berkenaan hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid.

Tambah Anwar, beliau juga mengambil maklum kesulitan murid membabitkan dua sesi persekolahan dalam keadaan sekolah yang sesak.

“Saya sudah beritahu guru besar kalau laporan JKR siap minggu depan, minggu depan kita jangka kerja baik pulih beroperasi kita nak buat ‘fast track’ makna tidak terus tender biasa, katanya.

Media pada 22 September lalu melaporkan lima buah kelas di tingkat tiga sebuah blok bangunan Sekolah Kebangsaan Permatang To’ Kandu di sini, musnah dalam kebakaran.

Tiada sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian jam 6 petang itu.

Difahamkan sekolah tersebut mempunyai dua sesi persekolahan iaitu pagi serta petang dan ketika kejadian sesi persekolahan sudah tamat.- MalaysiaGazette