ALOR GAJAH – Kaki digigit anak buaya dan tidak mengalami sebarang kecederaan malah berjaya menekup haiwan liar itu menggunakan tudung saji.
Itu mungkin detik lucu dialami seorang warga emas, Faridah Abd Ghani, 65, yang terkejut apabila kaki kirinya digigit seekor anak buaya bersaiz tapak tangan di rumahnya di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Masjid Tanah pagi tadi.
“Ketika itu kira-kira pukul 6 pagi saya sedang melangkah keluar pintu rumah dan terkejut apabila tiba-tiba terasa seperti ada sesuatu yang menggigit kaki kiri.
“Mulanya saya sangka haiwan itu biawak dan segera memanggil anak lelaki dan ketika itu barulah jelas ia adalah anak buaya bersaiz panjang kira-kira 30 sentimeter,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Faridah berkata, anaknya kemudian menekup reptilia pemangsa itu menggunakan tudung saji sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk bantuan lanjut.
“Memang sebelum ini saya pernah ternampak kelibat buaya berenang di pantai Tanjung Bidara kerana kedudukan rumah yang dekat dengan laut.
“Namun ini adalah kejadian pertama buaya naik ke rumah dan mujurlah saya tidak mengalami luka,” tambahnya.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Unit Masjid Tanah (UMT), Leftenan (PA) Shahrul Riza Saiful Bahry berkata, Pusat Kawalan Operasi menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 6.04 pagi.
Tambahnya, sepasukan empat anggota bergegas ke lokasi dan berjaya menangkap anak buaya itu yang dipercayai tersesat daripada habitat asal dan menyerahkannya kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette