Empangan Sultan Abu Bakar pada Program Lawatan Media ke Stesen Janakuasa Cameron Highlands, Pahang. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM135.820 juta diperlukan untuk kos pembaikan dan penyelenggaraan bagi lapan empangan yang diperiksa dan mengalami beberapa kerosakan.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC) berkata, lapan empangan tersebut ialah Empangan Muda dan Ahning di Negeri Kedah, Empangan Jor dan Mahang di Perak, Empangan Sultan Abu Bakar di Pahang, Empangan Babagon di Sabah, Empangan Bakun di Sarawak dan Empangan Kenyir di Terengganu.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan antara tahun 2021 dan 2022 mendapati wujud pembentukan enapan yang tinggi di kolam takungan, kerosakan peralatan instrumentasi dan kawalan air, tirisan (seepage), kerosakan integriti struktur konkrit, hakisan tanah dan kesan runtuhan.

Kerosakan ini boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk dan harta benda sekiranya berlaku kegagalan.

Manakala Empangan Chereh di Pahang dan Empangan Kenyir di Terengganu turut mengalami kerosakan yang agak teruk dan perlu dipulihkan segera.

“NRECC memberi perhatian yang serius akan risiko kegagalan struktur empangan seperti yang terjadi di Libya baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan di sini selepas membentangkan laporan status pemeriksaan keselamatan lapan (8) daripada 41 empangan berisiko oleh Pasukan Flying Squad.

Kata NRECC, Kerajaan Persekutuan bersedia menimbang untuk menyediakan sokongan kewangan kepada pemilik empangan yang tidak mempunyai sumber kewangan sebagai langkah interim, sekiranya terdapat keperluan mendesak.

NRECC bercadang untuk meneruskan fungsi Flying Squad untuk membuat pemeriksaan ke atas empangan-empangan lain terutamanya yang berusia lebih daripada 50 tahun.

Struktur dan tanggungjawab Flying Squad juga akan diperkukuhkan kepada struktur tetap yang dikenali sebagai Dam Technical Centre (DTC).

Pasukan Flying Squad merupakan struktur ad-hoc yang diselaraskan oleh Bahagian Bekalan Air (BBA), NRECC dengan keahlian terdiri daripada pakar daripada pelbagai jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta pihak
swasta.

Pemeriksaan empangan oleh Flying Squad mengguna pakai garis panduan pemeriksaan keselamatan empangan yang dibangunkan oleh JPS iaitu Malaysia Dam Safety Management Guidelines (MyDAMS). – MalaysiaGazette