Mahmood Razak Bahman

KUALA LUMPUR – Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) mengumumkan pelantikan Mahmood Razak Bahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa 1 Oktober 2023.

Mahmood menggantikan Shukor Ismail yang telah bersara pada 30 September 2023 selepas meneraju syarikat selama 11 tahun.

Sebelum pelantikan ini, Mahmood adalah Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan di DRB-HICOM Berhad dan ahli lembaga pengarah Puspakom.

Puspakom berkata, pelantikan Mahmood membawa bersama pengalaman luas dalam pelbagai industri, termasuk minyak dan gas, barangan pengguna yang bergerak pantas (FMCG) dan pembangunan pengangkutan awam.

Antara tahun 2008 dan 2016, Mahmood memegang jawatan pengurusan atasan di organisasi terkemuka seperti Sime Darby Plantation Berhad, salah satu syarikat perladangan terbesar di dunia, dan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd., pembangun dan pemilik aset Projek MRT Lembah Klang, yang mana jawatan terakhirnya adalah Pengarah Operasi & Pengurusan Aset.

Sebelum masuk ke sektor korporat pada tahun 2008, Mahmood berada di industri media penyiaran di mana beliau pernah berkhidmat di ntv7, Bloomberg TV Malaysia, Astro News dan Astro Awani dalam
pelbagai jawatan termasuk wartawan, pembaca berita, editor dan penerbit.

Pengerusi Puspakom, Tan Sri Abdul Hamid Bador yakin kemampuan Mahmood untuk membawa Syarikat ke tahap yang lebih tinggi dan mengucapkan terima kasih kepada Shukor atas sumbangan yang tidak
ternilai dalam meneraju pertumbuhan syarikat itu sejak pelantikannya pada tahun 2012. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast