sistem bekalan
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju empat langkah intervensi tambahan dilaksanakan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu termasuk mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke kawasan luar bandar termasuk di kedai-kedai runcit.

“Oleh kerana margin jualan beras putih tempatan hanya 50 sen bagi kampit beras 10 kilogram (kg), kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada FAMA,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Mohamad berkata langkah intervensi itu dipersetujui Perdana Menteri dalam pertemuan yang diadakan bersama beliau hari ini.

Bagi Sabah dan Sarawak, beliau berkata kerajaan bersetuju untuk memberikan subsidi sebanyak RM950 setiap tan metrik bagi beras putih import (BPI) mulai 5 Okt, dengan langkah itu membolehkan BPI diperoleh dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kg.

Beliau berkata tindakan itu diambil kerana pengeluaran beras putih tempatan di kedua-dua negeri itu adalah terhad. – BERNAMA