Allahyarham Datuk Seri Dr. Sheikh Nordin Sheikh Ahmad (kiri) bersama Noniswara.

KUALA LUMPUR – Suami kepada aktres Datin Seri Noniswara Baharuddin yang juga bapa mertua penyanyi MK K-Clique, Datuk Seri Dr. Sheikh Nordin Sheikh Ahmad meninggal dunia di sini malam tadi.

Berita sedih disahkan oleh aktres berkenaan dalam satu hantaran di media sosial miliknya.

Nonis, 54, berkata, jenazah suaminya akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Mustaqim, Ampang, Selangor pagi ini sebelum dibawa ke kampung halamannya di Kuala Krau, Temerloh, Pahang untuk dikebumikan.

Aktres itu berkahwin dengan usahawan berkenaan sejak tujuh tahun lalu.

Sementara itu, MK K-Clique turut berkongsi hantaran berupa ucapan takziah mengenai berita sedih itu.

Pada 16 Jun lalu, MK atau Muhammad Hairi Amin Hamdan, 27, dan Siti Hajar sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz di Masjid Jamiul Huda, Ampang, Selangor.

Apa yang menarik mengenai Allahyarham, beliau membina sebuah rumah agam iaitu Dato’ Syeikh Residences di Kampung Batu Gading, Temerloh inspirasi daripada beberapa buah bangunan yang terdapat di Asia Barat, Turki, China dan Uzbekistan.

Rumah itu dijadikan sebagai pusat tahfiz dan sekolah agama untuk penduduk kampung dan keluarga yang mahu anak-anak mereka mendalami ilmu agama Islam masing-masing sebagai bekalan dunia dan akhirat. – MalaysiaGazette

MK K-Clique dan isterinya Siti Hajaar bergambar bersama Allahyarham (tujuh dari kanan) semasa perkahwinan mereka semasa disatukan sebagai suami isteri pada Jun lalu.